GIVEAWAY AND BLOGWALKING MOOD...

Friday, November 16

precious moment at SMKSR

mimi_atia | 6:27 PM | 0Comments |
Bismillahirrahmanirrahim


Entri ni aku buat sebab aku tiba-tiba je teringat semua kenangan sewaktu aku berpraktikal dulu. Sekarang aku tulis korang semua dijemput untuk membacanya sampai habis ok 
(tak habis pun tak pe) 


Ceritanya bermula begini........ (sila tukar ke mood sedih)

___________________________________________________________

Pada tanggal 25 Jun 2012, aku telah mendaftarkan diri di SMK Sg. Rambai Melaka. Sekolah yang terletak di sempadan Johor dan Melaka memberikan aku satu pengalaman yang amat berharga yang tidak mungkin akan aku lupakan. Pahit manis sepanjang berpraktikal di sana insyAllah akan aku kongsikan di sini. 

Pada mulanya, aku tidak menjangkakan yang aku akan berpraktikal di melaka memandangkan aku amat berharap yang aku dapat menjalani praktikal di negeri kelahiranku sendiri iaitu terengganu. Namun, perancangan Allah Maha Hebat, Dia telah merancang yang aku tetap akan berpraktikal di melaka. SMK Sg.Rambai, nama yang akan aku ingat sampai bila-bila. Sekolah ini merupakan sekolah pertama aku ditempatkan sebelum aku dihantar ke sekolah yang lain sebagai guru tetap pada tahun hadapan. In shaa Allah. 

Sewaktu aku mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah tersebut pada hari jumaat, 22 Jun 2012 untuk berjumpa terlebih dahulu dengan pengetua sekolah dan juga mencari rumah sewa yang berdekatan dengan kawasan sekolah tersebut, aku berasa sangat teruja melihat suasana sekolah yang sudah lama aku tinggalkan. Suasana pelajar yang sedang belajar di dalam kelas, ada yang berjalan menuju ke kantin dan ada juga yang bermain di kawasan koridor kelas. 

'Assalamualaikum, cikgu' ucapan salam pertama yang aku terima daripada pelajar sekolah tersebut membuatkan aku tidak sabar lagi untuk menaburkan khidmat bakti di sekolah itu. 

Aku ditemani oleh umi dan abah dan juga keluarga ibu saudaraku. Setelah melaporkan diri dan berbicara dengan tuan pengetua, alhamdulillah atas budi bicara tuan pengetua, aku diizinkan untuk tinggal di rumah warden bersama dua orang lagi guru praktikal yang lain. 

Hari isnin tanggal 25 Jun 2012 bermulalah tugas dan tanggungjawab aku sebagai seorang guru praktikal di SMK Sg. Rambai. Aku memperkenalkan diri kepada semua guru dan ditempatkan di sebuah meja kecil berdekatan dengan pintu masuk bilik guru perempuan. Sedih, terkilan dengan layanan yang diberi? Tidak. Aku tidak kisah seberapa besar meja aku dan di sudut mana aku ditempatkan kerana bagi aku apa yang penting adalah tugas dan cabaran yang bakal aku hadapi sepanjang di situ. 

Aku diperkenalkan dengan guru pembimbing aku iaitu Pn.Mariam Salleh merupakan guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pertanian. Alhamdulillah, sepanjang aku di situ beliau banyak memberi tunjuk ajar kepadaku dan layanan yang diberikan terhadapku sangat baik. Aku diberi tanggungjawab untuk mengajar dan mendidik pelajar tingkatan 4 Tanaman Makanan seramai 16 orang yang terdiri daripada 9 orang pelajar perempuan dan 7 orang pelajar lelaki. Alhamdulillah sepanjang aku di situ mereka memberikan komitmen dan kerjasama yang baik kepada aku meskipun baru bertemu. 

Tanggal 19 Oktober 2012 bakal menjelang membuatkan aku tidak sabar untuk menghabiskan sisa-sisa praktikal yang masih berbaki. Namun, di sudut kecil hati aku terdapat satu perasaan yang membuatkan aku tidak mahu meninggalkan SMK Sg.Rambai apatah lagi meninggalkan pelajar-pelajar yang telah aku didik selama ini. Walau bagaimanapun, setiap pertemuan akan ada perpisahan. Itulah kenyataan yang harus dihadapi. Hanya kenangan yang tinggal kini dan akan aku abadikan kenangan itu selamanya.  


Kenangan indah bersama kamu  tidak akan cikgu lupakan. 
Terima kasih cikgu ucapkan kepada :

Naim, Syazwan, Amirul, Hedzir, Salihin, Fakhrul, Iskandar, 
Najiha, Fatini, Mira, Diana, Atiqah, Syafieka, Natira, Adawiyah dan juga Aime.  




No comments: